Page 1
Utusan-IRM tubuh Dakap
KUALA LUMPUR 8 Jan. - Kumpulan Utusan dan Islamic Relief Malaysia (IRM) hari ini menubuhkan Dana
Kemanusiaan Palestin (Dakap) untuk menyalurkan bantuan bagi meringankan penderitaan penduduk
negara itu yang menjadi mangsa kekejaman Israel.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin berkata, Kumpulan
Utusan berasa terpanggil untuk bersama-sama IRM membantu meringankan kesengsaraan rakyat Palestin
akibat kedurjanaan Israel.
'Ramai kanak-kanak yang tidak berdosa turut terbunuh dan ramai lagi yang cedera parah,' katanya sambil
menambah kehidupan berkeluarga terjejas teruk manakala tempat tinggal dimusnahkan oleh tentera Israel.
Berikutan itu, dana tersebut kelak diharap dapat membantu mengurangkan keperitan dan penderitaan
rakyat Palestin untuk membina kembali kehidupan mereka, katanya dalam kenyataan di sini.
Mohamed Hashim yakin rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama sama ada bertindak secara
individu mahupun menerusi badan-badan korporat akan bersama-sama menyumbang untuk menjayakan
dana tersebut.
Sementara itu Pengurus Negara IRM, Zawahir Abdullah juga berkata, penubuhan dana berkenaan diharap
dapat membantu rakyat Palestin terutamanya di Genting Gaza yang kini hidup dalam keadaan tertekan
akibat serangan tentera rejim Zionis.
Katanya, mereka bukan sahaja kekurangan makanan tetapi terpaksa bergelap tanpa bekalan elektrik sejak
11 hari lalu apabila Israel melancarkan serangan bom dan kini menggempur melalui jalan darat.
'IRM mempunyai dua pejabat di Palestin iaitu satu di Semenanjung Gaza dan sebuah lagi di Tebing Barat.
Mengikut laporan petugas-petugas kami di sana, keadaan amat getir sekali bagi mendapatkan bekalan
makanan dan ubat-ubatan,' katanya kepada Utusan Malaysia.
Zawahir memberitahu, IRM mengadakan kerjasama menubuhkan Dakap dengan Kumpulan Utusan setelah
mengambil kira pengalaman syarikat akhbar ini mengendalikan Tabung Kemanusiaan Aceh Utusan-
Maybank.
IRM merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam terbesar di dunia yang mempunyai pejabat di
negara-negara Islam seperti Afghanistan, Iraq dan Palestin.
Menurutnya, hasil kutipan Dakap akan disalurkan kepada penduduk Palestin menggunakan sumber
kepakaran IRM.
Zawahir juga berkata, IRM telah memilih Yayasan Belia Malaysia sebagai rakan yang akan menggerakkan
ahli-ahlinya di seluruh negara untuk membantu menjayakan kutipan bagi Dakap.
Orang ramai yang prihatin dengan nasib rakyat Palestin boleh menyalurkan sumbangan kepada Dakap
iaitu:
- Secara online dengan melayari laman web rasmi Islamic Relief Malaysia di www.irm.org.my.
- Mendepositkan wang ke dalam akaun Islamic Relief Malaysia Berhad sama ada akaun Maybank: 5621-
4270- 8704 atau akaun CIMB: 1259-0000-8040-58.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat dengan menghubungi Farouq Zauji di talian 03-89486334 atau
019-3973558
TrackBack
TrackBack URL for this entry:
http://www.utusan.com.my/